Pernah tak kita lihat dalam masyarakat kita budaya santau-menyantau, fitnah-memfitnah, berburuk sangka, saling menjatuhkan antara satu sama lain dan pelbagai lagi budaya yang sama waktu dengannya? Rasanya perkara seperti ini sudah tidak perlu dipersoalkan kerana ia merupakan perkara yang sering terjadi dikalangan masyarakat kita. Semua perkara ini terjadi hasil daripada suatu sifat atau penyakit hati yang dipanggil hasad dengki.. Natijah dari sifat dengki ini sekiranya tidak dibendung akan mendatangkan pelbagai kesan negatif sama ada kepada orang yang dengki itu ataupun mangsa orang dengki itu.
Gara-gara dengki dengan nabi Adam menyebabkan iblis menjadi sombong sehingga menggagalkan dirinya untuk menuruti perintah Allah agar bersujud kepada nabi Adam sebagai penghormatan. Akibat dari kesombongannya itu maka saat itu terlucutlah segala kenikmatan yang dikecapi selama berada di dalam syurga dan tika itu juga iblis menjadi makhluk yang dilaknati oleh Allah dan diusir dari syurga. Firman Allah yang bermaksud:
"Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu, lalu Kami membentuk rupa kamu, kemudian Kami berfirman kepada malaikat-malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam", lalu mereka sujud melainkan Iblis, ia tidaklah termasuk dalam golongan yang sujud.
Allah berfirman: "Apakah penghalangnya yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku perintahmu?" Iblis menjawab: "Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang dia Engkau jadikan dari tanah."
Allah berfirman: "Turunlah engkau dari Syurga ini, kerana tidak patut engkau berlaku sombong di dalamnya; oleh sebab itu keluarlah, sesungguhnya engkau dari golongan yang hina".
Ini antara perkara yang akan berlaku sekiranya kita terus membiarkan perasaan dengki itu menyubur dalam diri kita. Dan banyak lagi perkara-perkara yang tidak baik akan berlaku hasil dari sifat dengki. Oleh itu, jangan kita biarkan sifat dengki ini tumbuh segar dalam diri.. Andainya perasaan itu terbit maka removelah ia secepatnya dengan cara kita redha dengan setiap ketentuan yang telah ditetapkan oleh Allah kepada setiap makhluk-Nya. Sekiranya terbit juga perasaan dengki itu bermakna kita tidak redha dengan apa yang telah ditetapkan oleh Allah. Adakah kita layak untuk melakukan sedemikian rupa itu terhadap tuhan yang Maha Agung? Dan ingatlah dengan sabda Nabi yang bermaksud :
"Sesungguhnya hasad dan dengki itu akan memakan amal-amal baik sebagaimana api memakan (menghanguskan) kayu bakar."
Allah merupakan pencipta kita dan dia lebih mengetahui apa yang terbaik untuk makhluk-makhluk-Nya. Oleh itu, redhalah dengan semua yang telah Allah takdirkan untuk kita. Tidak perlu untuk kita hasad dengki dengan orang lain. Dan sudah pasti besar ganjarannya di sisi Allah andainya kita redho dengan segala ketentuan dan ketetapan tuhan yang Maha Esa insyaAllah.. Wallahu'alam
... Ibu Nora ...
No comments:
Post a Comment