Friday, October 14, 2011

Amal sentiasa diperolehi walau telah meninggal dunia

Gambar dari blog Ibu Nora

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarokatuh

Saudara dan saudariku yang dirahmati Allah,
Sedarkah kita betapa pentingnya merancang kehidupan hakiki iaitu kehidupan akhirat.
Sedarilah bahwa kehidupan dunia hanyalah sementara dan ia diibaratkan perhentian seorang musafir buat seketika untuk melanjutkan perjalanan ke tempat tujuan.
Justeru itu, setiap saat kematian sentiasa menghampiri kita untuk menuju ke alam akhirat. Sesungguhnya kematian tidak mengenal usia dan tidak mengenal kedudukan. Ia boleh berlaku bila-bila masa dan di mana-mana juga tanpa kita menyedarinya.

Dari Ibnu Umar ra katanya; Rasulullah memegang bahuku lalu ia bersabda:
“Hendaklah engkau berada dalam dunia seolah-olah engkau orang berdagang atau orang yang sedang melalui di jalan (pengembara)”. (HR.Bukhari )

Dan adalah Ibnu Umar ra berkata: “Jika engkau berada di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu pagi; dan apabila engkau berada di waktu pagi, maka janganlah engkau menunggu petang. Dan gunakanlah dari sihat engkau bagi masa sakit engkau dan dari hidup engkau bagi masa mati engkau”. (HR-Bukhari)

Saudara dan saudariku sebab itu,kita perlu sentiasa memuhasabah diri dan seterusnya mempersiapkan diri dengan bekalan sebelum menghadapi kematian untuk menuju kehidupan hakiki. Persiapan awal ini amat penting bagi setiap muslim kerana peluang kehidupan di dunia yang dikurniakan Allah Taala bagi setiap insan hanyalah sekali.

Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala bermaksud :
Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan Bertaqwalah kepada Allah,(Al-Hasy-r 59:18)

Di dalam al-Quran, Allah banyak merakamkan kisah-kisah penyesalan orang-orang kafir musyrik di alam barzakh dan alam akhirat, namun penyesalan mereka itu tiada gunanya kerana mereka telah diberikan peringatan demi peringatan oleh para Nabi dan Rasul namun mereka mengingkarinya.

Sebagai contoh, firman Allah dalam surah al-Furqan ayat 27, maksudnya :
“Dan perihal hari orang yang zalim menggigit kedua tangannya sambil berkata: Alangkah baiknya kalau aku mengambil jalan bersama-sama Rasul? Wahai celakanya aku, alangkah baiknya kalau aku tidak mengambil si anu itu menjadi sahabat karib.

Perlu diinsafi bahawa antara ciri-ciri muslim yang bijaksana ialah muslim yang sentiasa melakukan muhasabah diri dan membuat persiapan bagi menghadapi kematian.

Sabda Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam maksudnya :
“Orang yang paling bijaksana dikalangan kamu ialah orang yang bermuhasabah dirinya dan menyediakan bekalan amal soleh sebelum menghadapi kematian. Manakala orang yang tidak bijaksana ialah orang yang terpedaya dengan pujukan hawa nafsunya dan sentiasa berangan-angan kosong terhadap Allah Taala (mengharapkan ganjaran Allah tanpa berusaha)”. (Hadis Riwayat At-Termizi Dan Ibnu Majah)

Rasulullah telah memberikan panduan kepada umatnya melalui hadits Baginda,
satu panduan untuk membuat persediaan awal sebelum melangkah ke alam barzakh.

Sabda Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam maksudnya :
“Apabila seseorang manusia itu meninggal, maka terputuslah segala pahala amalannya, melainkan tiga amalan yang kekal berterusan walaupun selepas kematian, iaitu amalan soleh, sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak yang soleh kepada kedua ibu bapanya”. (Hadis Riwayat Muslim)

Hadits tersebut menjelaskan kepada kita bahawa terdapat tiga amalan utama yang perlu dilakukan oleh setiap muslim semasa hidupnya di dunia, sebagai bekalan menuju ke alam akhirat.ketiga amalan inilah sentiasa berjalan dan penolong selepas kematian.

Amalan pertama :
Sedekah jariah atau membelanjakan harta pada jalan Allah.
Sahabatku,Perlu difahami bahawa menafkahkan harta pada jalan Allah bukan hanya terhad kepada membelanjakan harta di jalan Allah,malah ia turut mencakupi amalan berzakat, bersedekah, menderma, mewakaf, perbelanjaan kepada ahli keluarga dan kaum kerabat, serta apa-apa sumbangan kebajikan untuk maslahah umum,
(Apa sahaja amalan baik yang kita tinggalkan orang dibelakang,menggunakannya maka pahalanya juga akan sentiasa kita perolehi seperti,menanam pokok buah-buahan,menggali sumur,membangun masjid,membuat jalan dan seterusnya)

Amalan kedua :
Menimba ilmu sama ada ilmu duniawi mahupun uhkrawi kerana Islam adalah ad-din yang mengimbangi antara keperluan dunia dan akhirat. Islam menggalakkan umatnya agar menuntut ilmu sebanyak mungkin sebab Allah akan mengangkat darjat orang yang berilmu berbanding dengan orang yang tidak berilmu. Hanya dengan ilmu sahajalah seseorang muslim dapat memantapkan iman dan mempertingkatkan amalan soleh serta mengikhlaskan niatnya hanya kepada Allah semata-mata.

Rasululah telah menggariskan kelebihan orang berilmu sabdanya yang bermaksud:
“Sesiapa yang berusaha menuntut ilmu, maka Allah permudahkan baginya jalan menuju syurga. Para malaikat melebarkan sayapnya sebagai tanda keredhaan ke atas penuntut ilmu dan seluruh isi alam langit dan bumi serta ikan di lautan mengucapkan istighfar (memohon keampunan daripada Allah S.W.T.) terhadap orang yang menuntut ilmu. Sesungguhnya kelebihan orang berilmu itu mengatasi orang yang abid (ahli ibadat) adalah seumpama sinaran bulan purnama ke atas gugusan bintang di langit”.(Hadits riwayat at-Tarmizi)

Amalan ketiga :
Meninggalkan anak yang sholeh/sholehah yang sentiasa berdoa kepada kedua orang tuanya maka pahalanya berterusan dinikmati (diperolehinya) sehingga ke alam akhirat

Sahabatku, Alangkah beruntungnya ibu bapa yang mampu mendidik anak-anaknya sehingga menjadi anak-anak yang soleh/sholehah dan taat kepada Allah, Dalam masa yang sama, anak-anak juga diasuh supaya menjadi generasi harapan yang akan menyumbang bakti berguna kepada agama, bangsa dan negara tercinta.

Inilah di antara ciri-ciri anak soleh/sholehah yang memiliki kekuatan rohani dan kehebatan jasmani yang doanya amat bernilai kepada kedua orang tua. Sesungguhnya anak yang soleh adalah pelaburan jangka panjang, yang amat berharga kepada kedua ibu bapa apabila mereka meninggal kelak.

Rasulullah pernah menegaskan dalam sabdanya yang bermaksud:
“Orang yang mati dalam kuburnya tidak ubah seperti seorang yang sedang kelemasan meminta pertolongan. Dia sedang menunggu hingga sampai kepadanya rahmat sesuatu doa daripada bapanya, saudaranya ataupun sahabat handainya. Jika sampai doa kepadanya, maka itulah yang amat disukainya berbanding dengan segala isi dunia”.( Hadits diriwayatkan oleh al-Baihaqi )

Sahabatku sekalian mari sama-sama bersiap siaga selalu.
Demikianlah antara beberapa amalan sholeh yang perlu diamalkan sebagai persiapan menuju kehidupan hakiki. Sedarilah bahawa kehidupan dunia ini hanyalah sementara dan kehidupan hakiki adalah di akhirat. Justeru, sebelum terlambat bersegeralah kita melakukan sebanyak-banyak kebaikan dan dalam masa yang sama menjauhkan daripada segala kemungkaran serta bersungguh-sungguh mendidik anak-anak agar menjadi insan yang benar-benar beriman dan bertaqwa. Wallahu a'lam Bish-shawab.

SELAMAT BERAMAL DAN INGATILAH SELALU TIGA PERKARA DIATAS WASSALAM

p/s : Isi entry hasil copy paste dari wall facebook kiriman teman Khalid Al-Walid ZaifUllah

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...